Reload As Low RM3 Using SmS

Biz eload RM3 ztop4u

Wednesday, January 20, 2010

Misteri Jelmaan Pocong

Tiga jam ditenung makhluk halus

TINGGAL bersendirian di sebuah pangsapuri di Serdang tidak pernah menjadi masalah kepada Balqis yang bekerja di sebuah syarikat penerbitan di Kuala Lumpur.

Walaupun sesekali timbul rasa bimbang kerana blok pangsapurinya dihuni ramai warga asing, Balqis masih boleh bertahan kerana mereka tidak menunjukkan tindak tanduk kurang disenangi.
Apatah lagi kemudahan yang disediakan agak memuaskan, selain sewanya berpatutan dan mempunyai kemudahan lebuh raya untuk ke pusat bandar walaupun agak jauh.

Bukan tidak pernah cerita seram yang diceritakan rakan yang tinggal di kawasan pangsapuri sama singgah di telinganya tetapi Balqis lebih senang duduk sendiri.

Baginya, lebih mudah bersendirian daripada berkongsi rumah dengan orang yang belum dikenali hati budinya.
Satu ketika heboh penghuni pangsapuri bercerita mengenai jelmaan pocong yang dilihat berlegar di lif blok bersebelahan blok yang dihuni Balqis. Beberapa penghuni yang balik jauh malam terserempak dengan makhluk itu yang melompat-lompat di sekitar blok.

Pengawal keselamatan yang ditugaskan menjaga keselamatan penghuni dan harta benda turut menceritakan kisah sama tetapi bagi Balqis ia sekadar satu cerita yang kesahihannya masih boleh dipertikaikan. Bukan bertujuan bercakap besar tetapi sudah menjadi darah daging Balqis mempercayai apa yang disampaikan selepas mengalaminya sendiri.

Entah mengapa satu malam Balqis sukar tidur. Puas dia bergolek di katil memujuk dirinya supaya lena kerana ingin bangun awal keesokannya untuk kerja tetapi matanya tetap berdegil.

Bagi melayan mata yang tidak mahu pejam, Balqis membaca buku sementara menanti dia betul-betul mengantuk. Lampu dibiarkan terpasang kerana membaca buku. Akhirnya Balqis terlelap dengan lampu biliknya terpasang dan buku menutup mukanya.
Balqis tiba-tiba tersedar kerana berasa seperti diperhatikan orang. Perlahan dia mengangkat buku yang menutup mukanya dan Balqis benar-benar terkejut kerana ada yang memerhatikannya tetapi bukan orang, sebaliknya ia adalah makhluk yang pernah menjadi sumber bualan penghuni di pangsapuri itu.

Balqis terkedu di katil melihat makhluk yang berdiri betul-betul di hujung katil. Dalam cahaya lampu yang terang Balqis dapat melihat kain putih yang membaluti tubuh makhluk itu dikotori tanah dan wajah berwarna hijau dengan dahi berkedut dan mata yang terjegil. Wajah makhluk itu juga dikotori tanah.

Dia tidak bergerak. Tubuhnya kaku di katil sambil membalas renungan makhluk itu kerana tidak mampu berbuat apa-apa. Ayat Quran yang dibaca lintang pukang lantaran terlalu terkejut dan takut.

Jika orang lain berdepan keadaan itu mungkin sudah tidak sedarkan diri tetapi berlainan dengan Balqis. Selama hampir tiga jam dia sekadar berbalas pandang dengan pocong yang entah dari mana datangnya. Anehnya Balqis tidak dapat mengalih mata ke arah lain seolah-olah dipaksa untuk melihat makhluk di depannya.

Seperti ia hadir, makhluk itu juga hilang secara tiba-tiba apabila azan kedengaran menandakan masuknya waktu Subuh. Sehingga kini pengalaman itu masih belum hilang daripada ingatan. Apabila ada saja rakan yang membuka cerita mengenai makhluk halus, Balqis tidak lupa menceritakan pengalaman ngeri yang dialaminya.

Namun kini Balqis agak lega selepas adik perempuannya turut menghuni pangsapuri sama tetapi Balqis berpesan kepada rakan-rakan supaya kisah itu tidak diceritakan kepada adiknya yang lebih penakut.



Ketika ditanya sama ada dia tidak takut, Balqis berkata: "Memang takut sangat-sangat tetapi dalam keadaan itu apa yang saya boleh buat. Kaku dan tidak boleh bergerak. Tetapi dalam hati sempat juga saya berkata, 'Dari manalah engkau datang?'. Harap-harap ia tidak berulang."

Credit To Berita Harian
Oleh Hazirah Che Sab

Misteri Bayi Dilarikan Bunian

Mak Teh seolah-olah berada dalam alam lain dan dapat melihat wanita separuh umur berpakaian serba putih membantu melahirkan anak

SEIRING dengan kejadian manusia, turut diciptakan Allah ialah akal bagi membezakan mereka dengan makhluk lain. Akal juga sepatutnya menjadi pendinding kepada tindak tanduk yang memudaratkan diri dalam menghadapi segala bentuk dugaan kerana janji Allah setiap ujian itu didatangkan untuk menguji keimanan.

Allah juga tidak akan menurunkan dugaan yang melampaui kemampuan manusia tetapi jika namanya makhluk lemah ujian yang sedikit pun dipandang berat. Lebih-lebih lagi jika ujian yang menimpa sukar diterima akal.
Mungkin kedengarannya pelik tetapi itulah peristiwa yang benar-benar berlaku kepada seorang wanita yang sehingga kini terus merindui anak yang dikandung selama sembilan bulan tetapi hilang sejurus dilahirkan.

Kisahnya memang tidak logik mengikut hukum alam tetapi apabila yang turut terbabit dalam mencorakkan cerita berkenaan ialah makhluk bunian yang memang wujud dalam dunia ini, kesahihannya tidak boleh dinafikan begitu saja.

Wanita digelar Mak Teh yang kini melewati usia senja masih ingat peristiwa itu dengan sejelas-jelasnya.
“Mak Teh bersyukur sangat selepas disahkan mengandung. Maklumlah sudah agak lama berkahwin. Kegembiraan Mak Teh dan suami usah dikira. Tidak sabar rasanya menantikan kelahiran anak sulung kami,” katanya ketika mengimbas kembali peristiwa berpuluh tahun lalu yang sehingga kini masih sukar difahami.

Tidak sukar menyelami kegembiraan yang dirasakan Mak Teh bakal menimang anak sendiri. Kandungannya dijaga dengan penuh hati-hati, malah temujanji dengan jururawat tidak pernah diabaikan.

“Apa saja petua demi memastikan kandungan sihat, asalkan tidak melanggar syarak, Mak Teh ikut. Semuanya bagi memastikan bayi dalam kandungan membesar dengan sempurna,” katanya sambil mengelap air mata yang membasahi pipi tuanya.

Penantian Mak Teh tiba di penghujung pada satu petang Khamis. Sakit yang dialami di sekitar pinggang dan perut tidak pernah dialami sebelum ini. Namun kesakitan itu masih tidak dapat menandingi kebahagiaan yang menyelubungi Mak Teh dan suami. Mereka bakal menimang anak sendiri. Biar perit menahan sakit, Mak Teh tidak kisah kerana keinginan memeluk anak sendiri lebih mengujakan.

“Entah mengapa Mak Teh memilih untuk melahirkan anak di rumah. Jururawat tidak membantah kerana Mak Teh tidak mempunyai masalah sepanjang mengandung. Kesihatan juga baik. Jadi, tiada masalah untuk melahirkan anak di rumah. Persiapan sudah dilakukan.

“Dari petang membawa ke senja, sakit Mak Teh semakin berat. Mak Teh sudah pun berada dalam bilik yang sudah dikemas untuk tujuan itu. Jururawat turut menemani Mak Teh di dalam bilik itu. Ketika itulah terjadi satu kejadian yang tidak dapat Mak Teh lupakan sehingga kini.

“Kejadian yang meruntun emosi dan fikiran Mak Teh sehingga sekarang. Mak Teh tidak pernah letih memikirkan mengapa itu terjadi kepada Mak Teh,” katanya.

Mak Teh berkata, menjelang Maghrib malam Jumaat itu, Mak Teh tiba-tiba terbau haruman yang begitu menyegarkan. Haruman yang tidak pernah dihidu sebelum ini.

“Mak Teh bertanya kepada jururawat yang menemani sama ada dia tercium bauan itu. Soalan Mak Teh tidak berjawab kerana rupa-rupanya dia tertidur. Rasa marah terbit juga kerana dalam keadaan Mak Teh yang semakin sakit hendak melahirkan anak, jururawat tertidur.

“Dalam keadaan menahan sakit dan marah itulah Mak Teh seolah-olah berada di satu alam lain. Mak Teh dapat rasakan berada dalam keadaan antara sedar dan tidak. Mak Teh masih ingat dengan jelas beberapa wanita separuh umur berpakaian serba putih melangkah masuk ke dalam bilik.

“Mak Teh ingin bertanya siapa mereka kerana memang Mak Teh tidak mengenali mereka. Tetapi mulut Mak Teh bagaikan terkunci. Langsung tidak boleh bersuara. Percaya atau tidak, dalam keadaan itu Mak Teh selamat melahirkan bayi lelaki dengan kumpulan wanita asing itu menjadi bidan,” katanya.

Mak Teh terus bercerita bagaimana dia melihat sendiri mereka mengerat tali pusat, memandikan dan membalut tubuh bayinya. Kumpulan wanita asing itu turut menunjukkan bayi itu kepadanya. Malah Mak Teh sempat menyusukan bayi lelaki yang dilahirkan dalam keadaan serba tidak masuk akal itu.

Saat kumpulan berkenaan membawa bayinya keluar, Mak Teh cuba menghalang. Sayangnya Mak Teh terus kaku tidak dapat berbuat apa-apa. Cuma air mata yang mengalir mengiringi pemergian anak yang amat dirindui selama ini.

Sejurus kumpulan wanita berkenaan hilang jururawat tiba-tiba tersedar dan panik apabila melihat Mak Teh sudah selamat melahirkan anak tetapi bayinya tiada.

“Dia bertanya kepada Mak Teh apa yang berlaku kerana perlu membuat laporan kepada pihak hospital tetapi Mak Teh sendiri kebingungan. Mak Teh masih ingat bagaimana jururawat berkenaan seperti hilang punca. Beberapa kali dia berkata kepada diri sendiri: “Macam mana aku nak buat laporan kepada hospital? Pesakit sudah bersalin tetapi bayi tiada.”

“Dia juga hairan mengapa dia boleh tertidur. Jururawat berkenaan bertanya Mak Teh apa yang berlaku tetap Mak Teh cuma boleh menceritakan apa yang berlaku ketika dalam keadaan sedar dan tidak. Mak Teh jadi seperti orang hilang akal selepas peristiwa itu. Namun setiap malam Jumaat, anak Mak Teh akan dibawa berjumpa Mak Teh dan menyusukan bayi itu. Cuma pada waktu itulah Mak Teh berkesempatan menemui anak Mak Teh. Itu pun berlaku seolah-olah dalam mimpi tetapi dapat rasakan dia menyusu,” katanya.

Keadaan itu berlanjutan sehingga anak lelakinya itu berusia 12 tahun dan sehingga sekarang Mak Teh tidak pernah lagi bertemu dengan anaknya yang dibawa orang bunian memasuki alam mereka. Mak Teh juga tidak pernah mengandung lagi dan mengambil beberapa anak angkat sebagai penyeri rumah tangga.

Memang cerita Mak Teh sukar dipercayai logik akal. Mungkin ada yang mencebik bibir tetapi kuasa Allah sudah membuktikan tiada apa yang mustahil dalam dunia ini dengan kehendak-Nya. Bagi Mak Teh dan beberapa wanita lain yang berkongsi cerita dan kesedihan sama, cuma kesabaran dan keimanan yang menguatkan mereka untuk terus cekal berdepan ujian perit itu.

Credit To Berita Harian
Oleh Hazirah Che Sab

Monday, January 4, 2010

Misteri Terowong Masa

Sejam masa diambil dari dapur ke bilik tidur

BIARPUN sudah lebih dua dekad berlalu, peristiwa membingungkan masih menghantui Robert Asher dan masih mencari jawapan kepada misteri itu pada usianya ketika ini 62 tahun.

Asher memandu dari New York City ke Syracuse di New York, untuk mencari rumah pada 1984. Seorang ejen hartanah menghubungi Asher kerana sudah menemui sebuah rumah dan meminta mereka sekeluarga datang meninjau kediaman itu.
Ketika itu musim luruh. Asher balik daripada bekerja pada jam 6 petang dan terus pulang ke rumah mengambil dua anak perempuannya yang masih kecil ketika itu. Mereka meninggalkan rumah setengah jam kemudian dan tiba di kawasan rehat New Jersey kira-kira jam 7 malam. Mereka berhenti untuk berehat dan membeli kopi serta snek.

Ia bukan perjalanan pertama mereka ke New York dan mereka tahu ke mana hendak dituju dan ia mengambil masa kira-kira lima jam.

Apabila Asher kembali ke keretanya dengan snek yang dibeli, hujan mula lebat sehingga pandangan di depan amat kabur. Pemandangan sepanjang lebuh raya kelihatan sayup mata memandang dan isterinya tiba-tiba berkata: “Nampaknya kita memandu ke penghujung dunia.”
Asher berpaling ke arahnya dan apabila berpaling semula ke arah jalan raya, hari terang benderang dengan matahari bersinar terik dan mereka sudah pun berada di pinggir bandar Syracuse. Jarak keseluruhan kira-kira 482 kilometer.

Asher berpaling semula ke arah isterinya dan mengejutkan wanita itu. Anak-anak mereka masih tidur di belakang. Dia memberitahu isterinya kedudukan mereka dan ternyata isterinya tidak percaya kerana dia baru tertidur beberapa minit sebelum itu.

Asher cuma ingat memasuki kereta di perhentian di New Jersey dan tiba-tiba saja berada di Syracuse. Dia sendiri tidak ingat memandu sehingga ke Syracuse. Asher sedar dia tidak tertidur ketika memandu. Dia juga yakin tidak memandu dalam keadaan separuh sedar kerana terpaksa melintasi laluan berbahaya di Pergunungan Shawungunk.

Asher juga masih ingat dia tidak berhenti di tepi jalan raya kerana anak-anaknya berada dalam kereta dan misteri bagaimana mereka boleh sampai di Syracuse begitu cepat masih belum ada jawapan sehingga hari ini.
Keadaan sama pernah dialami Luci Stravato yang sehingga kini membingungkan dia dan suaminya, Dave.

Dave mengaktifkan penggera pada jam 7 pagi seperti biasa sebelum mereka masuk tidur. Pada awal paginya, pasangan itu dikejutkan dengan salakan anjing peliharaan mereka, Bear. Haiwan itu cuma menyalak jika ada seseorang atau binatang seperti kucing jiran merayau di sekeliling rumah.

Luci dan Dave bangun menyiasat dan Luci sempat melihat jam pada waktu itu jelas menunjukkan jam 5.30 pagi.

Mereka berjalan ke arah tingkap dapur yang menjadi fokus perhatian Bear, melihat keluar dan mengesahkan tiada siapa di luar. Mungkin cuma kucing liar. Kedua-dua mengambil minuman sejuk dan kembali ke bilik tidur.


Luci baru hendak menarik selimut untuk tidur selama sejam setengah lagi apabila ternampak jam menunjukkan 6.30 pagi. Luci terkejut tetapi berasa matanya mungkin kabur walaupun yakin dengan apa yang dilihatnya ketika meninggalkan bilik tidur. Dia segera memanggil suaminya dan Dave berkata mereka bangun ketika jam menunjukkan 5.30 pagi.

Mendengar penjelasan Dave, Luci mula takut dan kebingungan memikirkan mereka mengambil masa sejam untuk ke dapur dan kembali ke bilik tidur.

Dia tidak dapat menjelaskan apa sebenarnya berlaku tetapi menegaskan jam menunjukkan jam 5.30 pagi ketika mereka bangun dan jam 6.30 sekembali mereka dari dapur.

Credit To Berita Harian
Oleh Hazirah Che Sab

Hantu Raya Tumpang Motosikal

Enjin kenderaan tiba-tiba mati sebaik tiba di kawasan yang dibersihkan, bersebelahan rumah usang

Enjin kenderaan tiba-tiba mati sebaik tiba di kawasan yang dibersihkan, bersebelahan rumah usang

KEJADIAN ini berlaku ketika bulan puasa menghampiri dan selain bersiap sedia untuk memulakan ibadat puasa, umat Islam turut mengambil kesempatan mengumpul rezeki dengan berniaga di bazar Ramadan.

Tidak ketinggalan Abidin yang berhasrat menjual air soya berhampiran rumahnya. Bagi tujuan itu dia membersihkan tanah terbiar berhampiran rumah di Butterworth untuk dijadikan tempat berniaga.

Di sebelah kawasan itu, tinggal seorang warga emas yang sudah kematian isteri. Rumah usang yang diduduki warga emas itu mengundang seram sesiapa yang memandang terutama pada waktu malam kerana sudah diketahui satu kampung dia membela hantu raya. 

Warga emas yang digelar orang kampung Pak Yim itu juga sudah nyanyuk dan kadang-kadang kelihatan berbogel berjalan mengelilingi rumahnya. Makan minumnya dijaga jiran yang bersimpati dengan Pak Yim.

Abidin memang kenal benar dengan Pak Yim kerana dia pernah mengunjungi orang tua itu meminta dia menunjukkan makhluk peliharaannya. Dengan berpura-pura ingin menuntut ilmu sesat itu, dia berjaya memperdayakan Pak Yim memperlihatkan ketujuh-tujuh makhluk berkenaan.
“Mulanya, ia datang dalam bentuk kucing yang besar. Lebih kurang sebesar anjing sebanyak tujuh ekor. Tidak berpuas hati, saya minta dia tunjuk dalam bentuk sebenar makhluk itu. Kemudian, muncul tujuh ekor ular yang besar.

“Saya merayu dia menunjukkan rupa sebenar. Tidak lama selepas itu saya nampak lembaga yang besar dan hitam dengan mata merah menyala. Menyedari niat saya dan rakan hanya mahu melihat makhluk itu, bukan untuk menuntut ilmu, Pak Yim menghalau kami.

“Saya pernah bertanya mengapa dia tidak membuang makhluk itu kerana dia sudah tua. Namun katanya dia sayang,” kata Abidin.

Abidin tidak berasa risau membersihkan semak samun di sebelah rumah Pak Yim kerana tahu tanah itu bukan kepunyaan orang tua berkenaan. Makhluk peliharaan Pak Yim cuma menjaga harta bendanya saja.
Hampir separuh hari berhempas pulas, Abidin tersenyum lega melihat tanah sekangkang kera itu sudah bersih. Kini dia cuma membilang hari memulakan perniagaan air soya.

Malam itu, Abidin ke rumah rakannya untuk membincangkan perniagaan mereka. Perbincangan yang disangka cuma sekejap rupanya mengambil masa panjang. Selepas jam 12 tengah malam Abidin akhirnya meminta diri untuk pulang.

Dia sedikit pun tidak berasa takut menaiki motosikal untuk balik ke rumah yang terletak kira-kira 10 kilometer dari rumah rakannya. Dia sudah biasa balik ke rumah pada waktu dinihari.


Bagaimanapun, sebaik melintas kawasan baru dibersihkannya petang tadi, motosikalnya tiba-tiba berat dan enjinnya mati.

“Kenapa pula motosikal ini tiba-tiba buat hal. Tadi elok saja. Minyak habiskah atau tayar pancit?” Abidin menyoal diri sendiri tanpa mengesyaki sebarang perkara lain.

Sedang asyik tertanya sendiri, dia tiba-tiba terpandang cermin sisi dan ketika itu semangat lelakinya sedikit tercabar. Daripada cermin itu, dia ternampak ada makhluk duduk membonceng di belakang dengan siung yang panjangnya kira-kira sejengkal.

Ketika itu, Abidin hanya mampu membaca ayat suci al-Quran dan bersungguh-sungguh menghidupkan motosikalnya. Hanya selepas melepasi kawasan itu, barulah motosikalnya kembali bergerak laju.

Abidin tidak menoleh ke belakang lagi. Dia terus memecut sehingga sampai di rumah. Abidin tidak terus masuk, sebaliknya untuk beberapa minit dia terus berada di motosikalnya untuk mengumpul semula kekuatan. Berikutan itu, hasratnya untuk berniaga pada bulan puasa dibatalkan.

Beliau bukan yang pertama diusik makhluk peliharaan Pak Yim kerana sebelum itu ada beberapa orang pernah diganggu tetapi tidak sampai menunjukkan rupa seperti yang berlaku kepadanya.

Seorang rakan abang Abidin pernah dimarah ayahnya kerana disangka ingin berjenaka apabila memberitahu tidak boleh mengangkat kereta sorong berisi tanah yang tidak seberat mana.

“Mereka sedang membersihkan kawasan berhampiran rumah Pak Yim apabila Haikal memberitahu ayahnya kereta sorong berisi tanah itu amat berat. Ayahnya menyangka dia bergurau.

“Tiba-tiba Pak Yim datang dan berkata: ‘Jangan kacau mereka’, barulah kereta sorong itu boleh digerakkan. Rupa-rupanya Pak Yim datang memarahi makhluk peliharaan yang duduk di dalam kereta tolak itu,” kata Abidin.

Credit To Berita Harian

Oleh Hazirah Che Sab

Penunggu Bukit Gapis

Ramai pemandu diusik ketika melalui puncak bukit ketika senja

KEJADIAN ini berlaku ketika Ramli masih bersekolah lagi tetapi setiap kali melalui jalan itu, walaupun ketika ini usianya sudah menjangkau 50 tahun, hatinya tetap berdebar-debar dan memecut laju jika memandu berseorangan di jalan menghala ke Kampung Nyalas, Melaka ketika menuruni atau mendaki Bukit Gapis.

Laluan itu yang keadaannya hampir sama sejak 50 tahun lalu dengan semak samun di kiri kanan jalan dan tiada rumah orang menjadikannya sunyi sepi, apatah lagi jika melaluinya ketika senja sudah pasti menaikkan bulu roma.
Sudah banyak cerita seram didengar Ramli mengenai laluan betul-betul di puncak Bukit Gapis, termasuk ada perempuan tua menunggu di tepi jalan, ada lembaga mengikuti kereta atau motosikal, malah ada cerita pontianak menumpang kereta atau bas yang kosong.

Malah, heboh cerita mengenai pemandu bas, Pak Ngah Din (kini Allahyarham) dan Bok Ngam, kedua-duanya pemandu bas Chin Chook diusik lembaga perempuan ketika pulang dari Nyalas menuju ke Bukit Senggeh atau Selandar ketika bas kosong yang dipandu mereka terhenyut-henyut mendaki Bukit Gapis.

Heboh satu Jasin mengenai cerita itu, dan ceritanya menjadi semakin menyeramkan apabila ditokok tambah penceritanya. Yang peliknya, ia tidak pernah diceritakan sendiri Pak Ngah Din atau Book Ngam kepada sesiapa, tetapi penemuan hantu itu sudah tersebar luas. 
Ramli ketika kejadian sudah menetap di sebuah Felda di Pahang bersama keluarganya tetapi mengetahui cerita mengenai ‘kerasnya’ laluan di Bukit Gapis. Setiap dua bulan sekali dia akan balik ke kampungnya di Jalan Lama untuk meninjau ibu bapanya yang sudah tua, selain mengunjungi bapa mentuanya di Air Barok yang selalu sakit.

Ramli ketika di kampung tidak seaktif di Felda. Dengan sedikit pengetahuan agama, ditambah dengan kenakalannya ketika muda suka mencari ilmu pendinding daripada gangguan makhluk halus, dia disegani di Felda kerana memiliki kebolehan berubat, sekali gus dilantik menjadi imam di kariahnya.

Banyak kes gangguan makhluk halus berjaya ditanganinya, apatah lagi kawasan penempatannya di Felda baru saja dibuka yang satu ketika dulu kawasan yang diduduki mereka hutan tebal yang pastinya menjadi kediaman pelbagai makhluk halus, termasuk hantu, pontianak, polong.

Entah apa yang difikirkan Ramli pada hari itu, tiba-tiba saja dia teringatkan kampung di Jalan Lama dan hatinya melonjak-lonjak mahu balik, padahal ketika itu jam sudah menunjukkan 12 tengah hari.
“Yusop, ikut aku balik kampung,” desak Ramli ketika sedang minum bersama Yusof, rakan sebloknya di kedai kopi Maah. Yusof bukan sekadar jiran sebelah rumah, malah dia juga berasal dari Melaka, menyebabkan kedua-duanya agak rapat.

“Hari dah tengah hari ini, perjalanan kita ambil masa enam jam... bukan dekat dari Jengka nak ke Melaka,” kata Yusof seolah-olah membantah hasrat kawan baiknya itu.

Tanpa sebarang jawapan, Ramli bingkas bangun dan menghidupkan enjin motosikalnya sambil berkata: “Aku tunggu kau jam 2 petang, bersiap ajelah.”

Mereka bertolak menaiki kereta Ramli selepas solat Zuhur dan berhenti beberapa kali untuk merehatkan otot sambil minum kopi, kononnya supaya mata tidak mengantuk.

Perjalanan dari Temerloh merentasi Kemayan, Serting, Bahau sehingga ke Air Kuning benar-benar memenatkan. Sebaik memasuki Nyalas, muka Ramli kelihatan ceria tetapi

sentiasa melihat jam tangannya.

“Kenapa dengan kau ni, dari tadi aku tengok asyik tengok jam. Ada sesiapa tunggu kau ke di kampung. Setengah jam lagi kita sampailah,” kata Yusof. Ketika itu jam sudah menunjukkan 7.30 petang.

Sebaik kereta mereka menghampiri Bukit Gapis dan terhenyut-henjut mendakinya, Ramli sudah merasai sesuatu dan bulu romanya tegak berdiri tetapi dia hanya mendiamkan diri.

Sebaik sampai di puncak bukit, enjinnya mati tanpa sebab. Yusof yang mungkin tidak tahu di situlah Bukit Gapis tiba-tiba merungut.

“Dah nak sampai mulalah nak buat hal,” katanya yang meminta Ramli menolak kereta itu sambil dia memulas stereng.

“Beratnya kereta ni... kau tolak ke tidak,” kata Yusof dengan nada merungut.

Ketika menolak kereta itu ke tepi, Ramli sudah nampak kelibat wanita berambut panjang di tempat duduk belakang keretanya, sedangkan mereka berdua saja ketika itu.

“Yusof...kita hisap rokok dulu, tunggu enjin sejuk, lepas tu oklah kereta ni,” kata Ramli yang mahu menyembunyikan perkara itu daripada rakannya bagi mengelakkannya takut. Hampir 10 minit mereka berhenti, namun tiada satu pun kenderaan melalui kawasan itu.

Ramli mati akal bagaimana mahu mengatasinya. Jika sebelum ini dia hanya mendengar cerita, kini dia mengalami sendiri.

Puas dia membaca pelbagai ayat al-Quran yang diketahuinya, namun penumpang tidak diundang itu tetap enggan pergi. Akhirnya dia membuka pintu kiri penumpang belakang kereta dan berbisik perlahan-lahan yang bunyinya seperti memujuk seseorang.

Dari jauh, Yusof memerhatikan kelakuan Ramli yang dilihatnya agak aneh tetapi tidak mengganggunya. Kali ini dia melihat Ramli membuka pintu sebelah kanan pula seolah-olah mengajak seseorang turun dari kereta itu.

Tiba-tiba Ramli dengan suara tinggi meminta Yusof menghidupkan kereta.

“Enjin dah sejuk tu, bolehlah kita jalan,” katanya yang kelihatan seolah-olah mahu Yusof segera pergi dari situ.

“Apahal dengan kau ni,” bentaknya sambil segera menghidupkan enjin dan pergi dari situ.

“Kalau aku cerita sekarang, gerenti kau tak boleh bawa kereta. Nanti sampai di kampung, aku beritahu,” kata Ramli yang sekejap-sekejap menoleh ke belakang dan mengintai melalui cermin.

Malam itu, Yusof tahu cerita sebenar dan menyumpah Ramli kerana tidak memberitahunya di situlah Bukit Gapis. Itulah kali pertama dan terakhir Ramli melihat lembaga di situ kerana sejak itu dia akan memastikan hanya melalui jalan itu sebelum senja dan selepas Maghrib.

Credit To Berita Harian
Oleh Azhar Abu Samah




Makhluk Halus Tumpang Menjala

Tetamu tidak diundang turut sama berkongsi kegembiraan melihat tangkapan dalam jala

SAIFUL sudah bersiap sedia sejak awal hari minggu itu dengan jala, joran dan umpan. Dia tidak mahu rancangannya bersama rakan-rakan untuk memancing atau menjala terbantut lagi. Sudah beberapa kali hasrat mereka tidak kesampaian kerana ada saja aral melintang.

Jika tidak kerana dia yang ada hal, rakan-rakan yang lain pula tidak dapat beri komitmen. Kesudahannya, hasrat mereka terpaksa dilupakan buat sementara. Namun kali ini Saiful dan rakan-rakannya nekad. Sebarang masalah kecil diketepikan dulu demi melaksanakan hajat yang sudah dirancang sekian lama. Tambahan pula desakan meneruskan hobi memancing dan menjala itu bagai tidak dapat dibendung lagi.

Pada hari dijanjikan, Saiful dan empat rakannya bertolak ke tempat dipersetujui berhampiran pantai Penaga yang terletak di Seberang Perai Utara dengan harapan mendapat habuan lumayan.

Masing-masing tidak sabar untuk sampai berbekalkan matlamat yang satu - memperoleh banyak ikan tanpa menyedari mereka bakal berdepan pengalaman yang akan diingati sampai bila-bila.
Sesampai ke tempat yang dituju, rakan-rakannya bergegas mencari tempat berlabuh yang sesuai sebelum hari gelap. Sementara Saiful masih berlengah-lengah berhampiran kereta yang diletakkan tidak jauh dari situ. Dia mundar-mandir di situ sehingga menimbulkan kehairanan rakan-rakannya.

Mereka menyangka Saiful tidak mahu tergesa-gesa kerana berdasarkan apa yang didengari, kawasan itu penuh dengan ikan tidak kira di mana pun joran dilemparkan. Malah, mengikut cerita penduduk, tiga atau empat kali menjala jika kena pada tempatnya sudah memadai untuk pulang dengan ikan yang banyak.

Apa yang mereka tidak ketahui ialah makhluk yang selama ini tidak boleh dilihat dengan mata kasar sudah menampakkan kewujudannya kepada Saiful. Makhluk itu bertenggek di atas sebatang pokok berhampiran tempat yang dipilih rakan-rakannya untuk memancing.

Saiful nampak dengan jelas makhluk itu memerhatikan rakan-rakannya yang beriya-iya membentangkan tikar, berebut mencari tapak terbaik dan tidak sabar-sabar melemparkan joran masing-masing.
Dia memikirkan cara terbaik memberitahu rakan-rakannya mengenai kehadiran makhluk tidak diundang itu. Memang semua rakannya itu kuat semangat tetapi kehadiran makhluk halus perlu disampaikan dengan cara lembut supaya tiada yang terkejut dan mungkin ada yang bertempiaran lari.

Menyedari Saiful yang belum menyertai mereka, salah seorang rakannya, Ali, segera memanggil.

“Hoi! Tunggu apa lagi. Cepatlah ke sini,” Ali melaung selepas melemparkan jalanya ke dalam sungai, sambil melambai-lambai tangan kepada Saiful. Saiful tidak dapat berbuat apa-apa. Tidak sempat dia memberi amaran, Ali sekali lagi memanggilnya menyertai mereka.

Apa yang pelik ialah makhluk halus yang sejak tadi bertenggek di atas pokok terlebih dulu menyahut panggilan Ali seolah-olah dia yang dipanggil. Dari kedudukannya, Saiful nampak dengan jelas dia terjun dari pokok dan berjalan ke arah rakan-rakannya dalam jelmaan hitam dan besar.

Lebih tidak masuk akal apabila makhluk itu turut menjenguk ke dalam jala yang dilemparkan Ali seolah-olah mahu sama-sama berkongsi kegembiraan dengannya yang mendapat ikan.

Kehadiran makhluk halus di sisi masih tidak disedari rakan-rakan Saiful yang semakin seronok selepas kail mereka diragut setiap kali umpan baru dipasang.

Dalam keghairahan Ali melemparkan jala, baru dia tersedar dengan kehadiran makhluk berkenaan.

Dia benar-benar terkejut dan sedikit melatah tetapi semangat lelakinya masih kental untuk dipersendakan makhluk berkenaan. Ternyata, makhluk halus itu suka menjala ikan.

Tanpa menghiraukan makhluk itu, Ali terus melemparkan jala cuma kali ini dengan sedikit berhati-hati kerana bimbang makhluk itu menolaknya ke dalam air. Mulutnya juga kelihatan berkumat-kamit seolah-olah sedang membaca sesuatu dan sekali sekali kelihatan dia seperti sedang menghembus sesuatu.

Makhluk itu akhirnya hilang sendiri selepas kehadirannya tidak dihiraukan Ali, manakala rakan-rakan yang lain seronok melayan ikan yang meragut umpan.

Sehingga hari ini, Saiful tidak dapat menjelaskan cerita mengenainya kepada rakan-rakan lain, selain Ali yang turut melihatnya. Sejak itu jugalah, Saiful tidak lagi ke tempat itu dan sering menolak jika diajak memancing oleh rakannya, lebih-lebih lagi jika dia ada mendengar cerita ‘ganjil’ mengenai kawasan itu.




Credit To Berita Harian
Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my

Disapa Gadis Bunian

Hanya kebun durian menanti ketibaan pengunjung

DUA puluh lima tahun lalu warung masakan Melayu di medan selera Kampung Baru dekat Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur menjadi pilihan untuk penulis sering bertemu dengan rakan-rakan. Walaupun kami sering bertemu tetapi Jef Iskandar, rakan baik penulis cuba mengelak daripada berbual kosong.

Perwatakannya baik tetapi dia kurang berminat bercakap mengenai perkara yang bukan-bukan terutama berunsur tahyul. Dia berpendirian jika orang Melayu ingin maju seperti masyarakat Barat, perkara berunsur tahyul yang melekat di hati mereka mesti dikikis. Bagaimanapun, pertemuan tidak diduga di Sik Kedah, baru-baru ini menambahkan keakraban persahabatan antara kami. Dia mengajak penulis ke rumahnya yang terletak kira-kira lima kilometer dari pekan Sik. Ada cerita menarik, katanya.

“Seminggu sebelum aku menerima arahan ditukarkan ke Kuantan, Pahang, aku ditemani adik ipar, Munir ke Bukit Belacan untuk mencari ikan pelaga. Apa yang aku alami ketika itu mencabar keimanan aku,” kata Jef, pesara pegawai tinggi di sebuah jabatan kerajaan yang pernah mendapat pendidikan di luar negara itu.

Pada hari itu, katanya, dia ditemani adik ipar ke pusat rekreasi Bukit Belacan dengan niat untuk mandi sambil mencari ikan pelaga. Spesies kerdil tapi kuat berlaga itu menjadi kegemaran Jef untuk dipelihara dalam akuarium di rumahnya.
Mereka memilih waktu selepas solat Asar ke destinasi terbabit. Kira-kira jam 5 petang Jef dan adik iparnya tiba di pusat perkelahan itu. Ketika mereka sampai, cuma dua tiga pengunjung sedang mandi. Mungkin hari itu bukan hujung minggu, jika tidak kawasan itu penuh dengan orang ramai yang datang untuk bersantai.

Sehingga jam 6 petang mereka menjejak, cuma seekor spesies mempunyai nilai komersial itu dapat ditangkap. Hairan juga, biasanya Jef mampu menangkap antara lima dan enam pelaga dalam tempoh tidak sampai setengah jam.

Bagi menghilangkan rasa bosan, mereka berehat seketika. Tiba-tiba cuaca cerah bagaikan matahari terbit sesudah fajar. Serentak itu, hujan turun agak lebat disusuli kelihatan pelangi tidak jauh dari situ. Jef dan Munir terpinga-pinga memerhatikan fenomena agak pelik itu. Hujan panas di waktu petang, kata orang tua, itu menandakan ada perkara buruk akan berlaku, bisik hati kecil Jef.

Ketika mereka beredar ke kawasan hulu anak sungai, tujuh gadis berpakaian seluar sukan, berbaju kemeja T kelihatan seronok mandi sambil bermain menyimbah air antara satu sama lain.


“Kat sini bang, ikan pelaga banyak di sini. Tangkaplah ikan di sini jinak,” tegur salah seorang gadis berkenaan.

“Eh, macam pernah kenal dengan kamu semua ini,” balas Jef.

“Ye ke, entah-entah silap orang tak," balas gadis terbabit.

Sebelum pulang, tujuh gadis sebaya itu sempat menghulurkan kad beralamat tempat tinggal mereka kepada Munir. Terkedu adik ipar Jef apabila gadis berkenaan merenung ke arahnya.

“Bang, raya puasa nanti datanglah ke rumah. Kami tinggal di Rawang, tidak jauh dari Sekolah Menengah Rawang, boleh makan buah durian,” pelawa gadis tinggi lampai sambil melempar senyuman ke arah Munir.

Sekali lagi anak muda berusia 21 tahun itu teruja. Pada hari keempat Aidilfitri, Jef sekeluarga dan Munir ke Rawang untuk berhari raya di rumah gadis terbabit. Sebaik menjengah di pintu pagar sekolah menengah terbabit, seorang pengawal keselamatan bertanyakan kepada Jef.

Apabila diberi tahu, pengawal keselamatan itu agak terkejut kerana setahunya tiada penempatan di kawasan belakang sekolah berkenaan.

"Encik tengok sendiri, kawasan berkenaan belum diterokai. Di sana banyak durian hutan berbuah, kalau hendak pergi perlu berhati-hati. Tiga hari lalu, seorang penduduk terserempak dengan seekor harimau sedang makan buah durian," beritahu pengawal itu.

Tiga hari selepas itu, ketika Jef membeli-belah di Pasar Borong Rawang, dia terpandang seorang gadis rupanya saling tidak tumpah seperti gadis yang memberi kad ketika dia dan Munir mencari ikan pelaga di Bukit Belacan.

Berbekalkan iman berteraskan kewujudan Allah, Jef mengekori gadis terbabit yang melangkah ke arah sebuah van di kawasan tempat letak kereta. Sebaik Jef menghampiri kenderaan itu, seorang lelaki menyapanya.

“Cari siapa encik? Hanya saya seorang di sini. Saya berehat sebentar sementara menunggu masa mengambil pekerja syif petang yang bekerja di sebuah kilang di Rawang,"

Rakan baik penulis itu minta maaf lalu beredar meninggalkan pemandu van kilang terbabit. Sehingga kini, pengalaman berjumpa gadis Bukit Tujuh Rawang cantik molek itu sukar dilupakan Jef.

Siapa sebenar `gadis dusun' itu? Terserah kepada pembaca membuat penilaian.

“Din, sehingga ini, itulah peristiwa cukup manis yang tidak akan mudah aku lupakan. Seingat aku, ketujuh-tujuh gadis itu cukup cantik, ratu cantik dunia pun tidak secantik gadis berkenaan," katanya.

Sambil merenung, Jef yang kini berusia 58 tahun menasihati penulis sentiasa menghormati sesama makhluk ciptaan Allah SWT.

Credit To Berita Harian
Oleh Sabaruddin Abd Ghani
bminggu@bharian.com.my

Misteri Kelibat Roh

Paula tergamam menyedari lelaki berwajah keliru yang disapa sebenarnya sudah mati

PENGALAMAN terserempak roh mungkin biasa kita dengar dengan pelbagai catatan, termasuk dakwaan menggerunkan mengenai ‘wajah’ mereka yang sudah meninggal dunia.

Keadaan sama juga berlaku di luar negara, seperti dialami Paula John yang menetap di sebuah pekan kecil Holly di Idaho, Amerika Syarikat pada 2001. Rumah Paula terletak berhampiran dengan lebuh raya utama.

Pada satu hari kira-kira jam 7.00 petang, ketika dia bersendirian di rumah menonton televisyen, Paula terdengar bunyi dentuman kuat. Dia berlari keluar untuk melihat apa yang berlaku.

“Eh! Kemalangan rupanya. Baik aku jengok jika masih ada mangsa yang boleh diselamatkan,” katanya dalam hati sambil berlari pantas ke tempat kejadian. Kemalangan itu membabitkan sebuah kereta dengan asap berkepul-kepul daripada bahagian depan kenderaan itu yang rosak teruk.

Paula agak ketakutan apabila menyedari kemalangan baru berlaku. Tiang lampu mengalami sedikit kerosakan dan bengkok. Paula tahu pemandu hilang kawalan dan melanggarnya.
Dia berjalan ke arah kenderaan untuk meninjau keadaan pemandu dan kemungkinan menawarkan bantuan apabila seorang lelaki tiba-tiba keluar daripada belakang kereta. Paula bertanyakan keadaannya. Lelaki berkenaan cuma berdiri tegak di situ dengan wajah keliru, mula melihat sekeliling, melihat kereta dan berlalu pergi.



Sekali lagi Paula menjerit bertanya keadaannya. Lelaki berkenaan cuma merenung Paula tanpa menunjukkan sebarang reaksi dan berjalan ke belakang kereta itu.

Dengan bantuan sinaran lampu jalan, Paula nampak baju yang dipakai lelaki itu - baju biru lengan panjang, seluar khaki coklat, kasut hitam dan memakai apa yang kelihatan seperti alat pendengar atau set fon di kepalanya. Rambutnya pendek dan kelihatan dalam lingkungan awal 20-an.

Menyedari keadaan itu, Paula masuk ke dalam rumah dan menghubungi talian 911. Sebuah kereta peronda polis dengan dua pegawai tiba segera. Seorang pegawai menjaga kawasan kejadian manakala seorang lagi mencari mangsa. Paula menghampiri salah seorang pegawai.
“Ya, saya yang menghubungi pihak tuan tadi. Saya mendengar bunyi dentuman kuat dan sebaik keluar, saya melihat ada nahas berlaku,” katanya dan disusuli pelbagai pertanyaan rutin pegawai berkenaan.

Tidak lama kemudian sebuah kereta bomba dan ambulans tiba. Paula menggambarkan lelaki yang dilihatnya kepada pegawai dan bertanyakan keadaan lelaki itu.

Secara tiba-tiba, dia melihat pasukan perubatan menarik seseorang daripada kereta yang remuk itu dan mula memberikan bantuan.

Dan sepantas kilat, Paula tergamam.

“Betul ke apa yang kulihat ni. Eh, ya lah. Inilah lelaki yang terserempak dengan aku tadi ni. Macam mana pulak dia terbaring di sini,” soal Paula. Dia hampir tidak mengenali pakaian yang dipakai mangsa kerana berlumuran darah.

Salah seorang pegawai perubatan menanggalkan fon kepala yang dipakai dan memaklumkan Paula, mangsa mati serta merta kerana cedera parah.

Paula mula takut malah pegawai yang mengambil keterangannya turut kehilangan kata-kata. Dia kini percaya yang dia melihat roh lelaki berkenaan. Mungkinkah kematiannya yang serta merta itu menyebabkan ‘roh’ lelaki itu mempamerkan wajah keliru? Persoalan itulah yang masih melingkari benak hati Paula biarpun kejadian itu sudah hampir sedekad berlalu.

Credit to Berita Harian
Oleh Hazirah Che Sab


Misteri Sumpahan Puteri Mesir

Kemarahan mumia punca Titanic karam

DARIPADA semua semua kisah luar biasa, sumpahan Puteri Amen-Ra yang hidup kira-kira 1,500 tahun Sebelum Masihi dikatakan cerita paling mengganggu dan sukar untuk dijelaskan kerana dipercayai menjadi penyebab kapal paling hebat pernah dibina, Titanic, tenggelam.

Apabila meninggal dunia, mayat puteri itu dimasukkan dalam keranda kayu dan dikebumikan di Luxor, di tebing Sungai Nil.

Sumpahan Amen-Ra bermula pada lewat 1890-an apabila empat lelaki Inggeris yang kaya melawat Luxor dan terdorong membeli keranda mengandungi mumia puteri itu. Mereka saling berlumba meletakkan harga tertinggi dan akhirnya keranda dimiliki salah seorang daripada lelaki berkenaan yang membayar harga sehingga beribu Pound.

Dia membawa keranda itu balik ke hotel penginapannya dan beberapa jam kemudian lelaki itu dilihat berjalan seorang diri ke arah gurun dan tidak pernah kembali lagi ke penginapannya sejak itu. Keesokan hari, salah seorang daripada tiga yang masih ada di hotel itu ditembak secara tidak sengaja oleh pembantu berketurunan Mesir. Tangannya cedera teruk sehingga terpaksa dipotong.

Lelaki ketiga tidak terkecuali menerima nasib buruk sebaik kembali ke tanah air apabila mengetahui bank yang menyimpan wangnya muflis, manakala rakannya yang dulu kaya raya mengalami sakit teruk hilang kerja dan terpaksa menjual mancis di jalanan.
Bagaimanapun, keranda berkenaan tiba di England dan dibeli oleh seorang ahli perniagaan tetapi dia mendermakannya kepada Muzium Britain selepas tiga anggota keluarganya cedera dalam kemalangan jalan raya dan rumahnya dijilat api.

Misteri terus melingkari keranda itu apabila trak yang digunakan untuk mengangkutnya ke muzium tiba-tiba berundur ketika kerja memunggah dilakukan. Ketika diangkat menaiki tangga oleh dua pekerja, seorang daripadanya terjatuh dan patah kaki, manakala seorang lagi, yang sihat, meninggal dunia secara mengejut dua hari kemudian.

Sebaik keranda puteri itu diletakkan dalam Ruang Mesir di muzium itu, masalah lain pula timbul. Penjaga malam muzium melaporkan kerap mendengar suara tangisan dari dalam keranda. Apabila seorang pengunjung mengejek wajah yang dicat pada keranda itu, anaknya meninggal dunia disebabkan campak tidak lama kemudian.

Akhirnya, pihak berkuasa terpaksa memindahkan mumia itu ke bawah tanah dengan harapan ia tidak lagi mencetuskan masalah. Namun, ia tidak menjadi kenyataan kerana dalam masa seminggu, seorang pembantu sakit teruk dan penyelia yang bertanggungjawab memindahkan keranda itu ditemui mati di mejanya.
Seorang jurugambar yang mengambil gambar keranda itu mendapati cat padanya jelas menunjukkan wajah manusia yang menakutkan. Dia kemudian balik ke rumah, mengunci diri dalam bilik tidur dan menembak dirinya.

Kisah paling menarik mengenai sumpahan Puteri Amen-Ra ialah apabila seorang pakar arkeologi yang menganggap apa yang terjadi cuma kebetulan, membayar harga mahal untuk memiliki mumia itu dan mengatur pemindahannya ke New York.

Pada April 1912, pemilik baru mayat Amen-Ra mengiringi keranda itu menaiki kapal persiaran yang akan melakukan pelayaran bersejarah ke New York. Pada malam 14 April, keranda Amen-Ra mengiringi mayat 1,500 penumpang yang tenggelam ke dalam lautan Atlantik apabila Titanic, yang dikatakan tidak akan tenggelam kerana memiliki ciri-ciri keselamatan tercanggih ketika itu, karam selepas terlanggar bungkah ais.

Credit To Berita Harian
Oleh Hazirah Che Sab

Penunggu Banglo Lama


Kelibat wanita mati bersalin 'sambut' tetamu rumah tumpangan

TUJUAN Ain mengikut rakan baiknya bekerja di Taiping, Perak semata-mata mahu menimba pengalaman sambil mencari wang saku sementara menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Idea itu memang tidak disenangi ayahnya, apatah lagi bekerja di pusat beli belah nun jauh dari Kuala Lumpur.

Genap dua bulan, Ain (bukan nama sebenar) mengalah dengan permintaan ayah dan kembali ke Kuala Lumpur. Memandangkan banyak lagi barang yang ditinggalkan di rumah sewanya di Taiping, kakaknya Auni bersetuju menemani mengambil barang-barangnya itu.




Mereka menaiki bas jam 2 petang mengikut laluan lama dan tiba di Taiping pada jam 8 malam. Resam orang muda, apabila sudah berjumpa kawan lama, sudah tidak ingat perkara utama. Auni dan Ain dibawa rakan Ain bersiar-siar hingga lupa mendapatkan tiket balik ke Kuala Lumpur. Lebih malang lagi, semua tiket bas kehabisan dan yang ada hanya tiket bas untuk perjalanan esoknya pada jam 8 pagi. Rancangan pulang ke Kuala Lumpur malam itu, tinggal impian. Hendak tak hendak, terpaksalah mereka menginap semalaman di Taiping.

Kawan-kawan Ain mempelawa mereka bermalam di rumah sewa, tetapi Auni menolak kerana kurang selesa tidur di atas lantai. Ditambah pula, keadaan kesihatannya yang mudah diserang semput. Auni lebih rela menyewa bilik di sebuah rumah tumpangan di tengah bandar Taiping. Namun idea itu kurang dipersetujui Ain dan rakan-rakannya. Entah mengapa, Auni sendiri kurang periksa.

Suasana suram menyambut kehadiran mereka. Rumah tumpangan yang disangka Auni bangunan kedai, rupanya banglo lama dua tingkat yang dibina sejak zaman kolonial lagi.
Selepas berurusan dengan kaunter mendaftar masuk, hanya tinggal satu saja bilik yang masih kosong di tingkat atas banglo berkenaan. Satu-satunya bilik yang ada pun, nun di tingkat atas. “Rezeki kami agaknya,” kata hati Auni. Bukan saja sewanya hanya RM40 semalam tetapi ruangnya juga besar memuatkan dua katil bersaiz queen dan single.

Peliknya, sebaik saja memberitahu Ain dan rakan-rakannya mengenai bilik sewaannya di tingkat atas, air muka mereka terus berubah. Masing-masing kelihatan cemas, pucat dan ketakutan. Sekali lagi seorang rakan Ain cuba memujuk Auni untuk melupakan saja hasrat menginap di sini tetapi Auni tetap berdegil.

Auni mengajak Ain naik ke bilik, namun Ain tidak mahu, sebaliknya menyuruh Auni naik dulu dan berehat dengan memberi alasan mahu bersembang dengan rakan sebelum berpisah.

Tanpa mempedulikannya, Auni terus masuk ke bilik dan duduk seketika di meja tulis. Secara tiba-tiba, dia disentap rasa resah gelisah. Dia memandang kiri dan kanan, tetapi perasaannya tetap tidak tenteram. Anehnya, Auni masih tetap setia duduk di meja tulis itu. Sesekali terdengar bunyi tapak kaki seperti orang naik tangga menuju ke bilik tetapi Ain tidak muncul-muncul juga. Usahkan suara, bayang Ain pun tiada.
“Ah, tidak ada apa-apa ni. Perasaan aku saja ni,” kata Auni, memujuk diri. Auni berasa mahu ke tandas yang terletak di hujung beranda. Terpaksalah Auni menghayun langkah, keluar bilik untuk ke tandas. Sedang elok dia berjalan, tiba-tiba langkah kakinya terhenti melihat kelibat seorang wanita sarat mengandung bersama seorang anak perempuannya, berdiri di depan pintu tandas. Mujur dia sempat berhenti, kalau tidak mesti dia terlanggar wanita berkulit cerah itu dan agak pucat itu.




Wanita yang mengenakan baju mengandung berwarna putih itu sempat pula melemparkan senyuman mesra kepada Auni.

Sebaik membalas senyumannya Auni terasa semacam. Bulu romanya meremang secara tiba-tiba. Tetapi sempat pula merungut secara diam-diam: “Hai sewa bilik hotel pun kena kongsi tandas dengan tetamu lain ke...” Selepas keluar, wanita itu tidak kelihatan

Sebaik Auni kembali ke bilik, Ain pun naik. Dia tidur di katil single, Auni pula di katil queen. Baru saja terasa mata hendak terlelap tiba-tiba kaki Auni seperti disentap sesuatu. Dijenguk pada hujung katil, tiada siapa. Auni diamkan saja dan ambil keputusan buat tak tahu.

Sedang mereka mencuba sekali lagi untuk melelapkan mata, dua beradik itu dikejutkan suara tangisan bayi yang tidak henti-henti sepanjang malam. Bukan saja bunyi bayi menangis, bermacam-macam bunyi lagi yang datang dari arah sebelah. Auni sempat mengintai ke luar, nampak cahaya terang benderang.

“Agaknya ada orang dengan anak kecil. Eh...tetapi ini kan satu-satunya bilik di tingkat atas,” katanya yang hanya menambah gelisah di hati.

Ain makin resah gelisah dan tidak boleh tidur. Akibat ketakutan, Ain tidur sekatil dengan Auni. Pagi itu, seawal jam 6 pagi mereka sudah terjaga. Auni bingkas mengajak Ain cepat-cepat keluar dari situ. Syukur mereka mendapat tiket bas pagi ke Kuala Lumpur. Dalam bas, Ain mula bercerita mengenai pelbagai gangguan dan bunyi yang didengarnya sepanjang malam.

Ceritanya, dia diberitahu banglo itu memang terkenal dengan pelbagai kisah seram. Katanya, dulu dipercayai seorang wanita sarat mengandung ditinggalkan suami buat seketika kerana tuntutan kerja. Ditakdirkan ketika ketiadaan suaminya dia sakit hendak bersalin dan akhirnya mati bersama bayinya di bilik itu.

Sebaik saja Ain menyebut mengenai perempuan mengandung, Auni terus menjerit sehingga mengejutkan penumpang bas lain. Tubuhnya terus lemah longlai kerana dia sudah berdepan penunggu rumah tumpangan yang dimaksudkan itu - kelibat wanita hamil yang ditemui di depan pintu tandas.

Credit to Berita Harian
Oleh Suzan Ahmad
suzan@bharian.com.my

Tetamu Tidak Diundang

Makhluk halus 'singgah' di rumah pengantin lelaki

RESAH gelisah bayinya yang baru berusia tiga bulan amat ketara pada pengamatan Aina, sekali gus membuatkan dia juga tidak senang duduk. Entah apa yang mengganggu ketenangan si kecil itu, Aina sendiri tidak tahu.

Puas dibuai tetapi Nurin masih belum mahu lena nyenyak. Rasa bersalah membelenggu Aina kerana tidak dapat membantu anggota keluarga lain melayan tetamu yang tidak putus-putus datang ke majlis perkahwinan adiknya, sedangkan dia anak sulung.




Mujurlah mereka memahami keadaannya yang mempunyai anak kecil. Melihat kegelisahan Nurin yang kerap kali terjaga daripada tidur, adik beradik lain sebaliknya meminta Aina menemani bayi itu.

Bosan menghayun buaian, Aina membawa Nurin keluar kerana beranggapan dia mungkin panas dan rimas berada dalam rumah, lantaran bising dengan suara orang ramai. Hati kecil Aina amat pasti itu puncanya tanpa menyedari sebenarnya ada sesuatu yang lain mengganggu tidur si kecil.


Keresahan Nurin membawa sehingga ke petang dan sebaik malam menjelma, dia mula merengek kecil tetapi berlanjutan. Anak itu langsung tidak mahu tidur, malah didukung pun dia tetap merengek. Apabila malam semakin larut, tangis Nurin semakin kuat dan pada satu masa kedengaran amat nyaring.
Ayah Aina pula mengambil alih mengendong Nurin dan apabila Aina menyatakan anak itu mungkin keletihan kerana tidak dapat tidur seharian, ayahnya segera menyanggah: “Budak ini menangis bukan kerana panas atau tidak dapat tidur. Ada sebab lain. Memegangnya saja ayah sudah dapat agak.

“Ada sesuatu mengganggunya. Tetamu yang datang pelbagai ragam, tambahan pula kita sembelih lembu. Sisa darah itu memang menjadi kegemaran iblis,” kata ayahnya.

Hampir jam 2 pagi, keadaan Nurin tidak berubah. Kasihan dengan keadaan anak saudara yang masih kecil, adik lelaki Aina yang baru bergelar pengantin baru segera mendukung Nurin lantas dibawa ke rumah abangnya yang terletak di belakang rumah mereka.

Anehnya, sebaik melangkah ke laman rumah abangnya, Nurin terus diam dan kembali menangis kuat apabila dibawa masuk kembali ke rumah mereka.
Adik lelaki Aina, yang dipanggil Pak Ngah oleh anak saudaranya, segera memegang Nurin dan membacakan ayat suci al-Quran di telinganya. Sebaik mendengar alunan ayat suci, Nurin terus menjerit nyaring dan pada masa sama suara tangisan mendayu sayup-sayup ditangkap oleh pendengaran Aina.

Adik perempuan Aina turut memberitahu dia mendengar tangisan itu. Sejurus selepas itu, Nurin tiba-tiba diam dan keletihan jelas terbayang pada wajah kecilnya. Aina menarik nafas lega melihat anaknya sudah berhenti menangis dan terus tidur.

Andaian gangguan berkenaan berhenti setakat itu nyata tersasar kerana sebaik Nurin berhenti menangis, emak Aina tiba-tiba rebah. Sebaik sedar, wanita berusia lewat 40-an itu sudah menjadi orang lain. Dia menangis mendayu-dayu minta jangan disakiti dan dikasihani. Dia juga minta dihantar balik ke rumah tuannya.

Ditanya mengapa datang, emak Aina yang diresapi makhluk halus menjawab: “Saja datang. Nampak orang ramai sangat di rumah ini petang tadi. Datang untuk melihat mengapa ramai orang.

“Saya hendak balik. Tolonglah hantar saya balik. Janganlah buat macam ini. Saya sakit.”

Mendengar rayuannya, adik lelaki Aina terus berkata: “Pandai datang, pandai balik. Kami tidak pernah menjemput engkau. Pergi balik sebelum teruk engkau kami kerjakan.”

Emak Aina, dengan gaya tempang berjalan menuju ke muka pintu dan rebah di situ. Keadaan kembali reda selepas itu. Melihat cara jalan tempang yang ditunjukkan emak Aina, mereka sekeluarga sudah dapat mengagak siapa sebenarnya yang membela makhluk isi neraka itu kerana itulah iblis sentiasa mengaibkan tuannya dengan menunjukkan secara jelas gaya penampilan mereka.

Credit to Berita Harian
Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my

Pontianak Teman Pulang

Pasangan suami isteri tergamam lihat makhluk mengilai depan kereta di Padang Serai
AZIMAH dan Zaki adalah sepasang suami isteri yang mempunyai seorang anak perempuan berusia lima tahun. Mereka menetap di sebuah taman perumahan di Padang Serai di utara tanah air. Memandangkan suaminya bekerja mengikut syif, Azimah dan anak perempuan mereka menumpang di rumah ibu mentuanya yang terletak agak jauh daripada kediaman mereka setiap kali Zaki terpaksa bekerja syif malam.

Untuk pulang ke rumah, mereka terpaksa menempuhi perjalanan melalui kebun kelapa sawit yang agak luas. Sudah pasti, keadaan sememangnya menyeramkan terutama pada waktu malam ketika kenderaan amat kurang dan lampu jalan yang cuma samar-samar. Kebiasaan melalui kawasan sebegitu pada waktu malam membuatkan Azimah dan Zaki tidak berasa takut dan belum pernah berdepan sebarang masalah, termasuk gangguan makhluk halus biarpun diingatkan rakan-rakan yang pernah menjadi mangsa gangguan berkenaan.




Namun, kekebalan pasangan ini terlerai juga apabila pada satu malam, ketenangan meredah kepekatan malam itu mengundang episod mencemaskan buat mereka sehingga terpaksa mengambil cuti sakit akibat demam.

Malam itu, seperti biasa, Zaki menjemput anak dan isterinya selepas tamat syif. Perjalanan biasa menjadi sebaliknya apabila anak mereka yang tidur di tempat duduk belakang, kelihatan agak gelisah.

“Kenapa dengan Adila ni? Selalunya tak ada masalah. Hairan juga...,” kata Azimah dalam hati yang agak hairan dengan Adila yang merengek.
Belum pun sempat memusing ke belakang, tiba-tiba Zaki berkata:

“Awak jangan pandang belakang. Biarkan saja Adila,” kata Zaki.

Anehnya, semakin dia ingin menoleh ke belakang, semakin tegas Zaki melarangnya. Lumrah manusia, lagi dilarang lagi ketara rasa ingin tahu, Azimah lantas berpaling ke belakang kerana enggan meneruskan pertengkaran selain memujuk Adila tanpa mempedulikan apakah sebenarnya di sebalik larangan Zaki itu.

Hakikatnya, tanpa disedari Azimah, Zaki sebenarnya sudah ternampak kelibat makhluk lain di bonet belakang, menerusi cermin pandang belakang. Disebabkan tidak mahu Azimah ketakutan, Zaki melarang isterinya menoleh. Ibarat skrip filem, sebaik Azimah menoleh, makhluk berkenaan hilang dan menjelma betul-betul di depan Zaki yang berusaha memandu kereta dalam keadaan terketar-ketar.
Apalagi, terkumat-kamit mulut Zaki membawa ayat Kursi sambil tangannya terus mengemudi stereng dan kaki memijak pedal minyak sambil cuba bertahan sedaya mampu. Zaki sedar, jika dia panik, ia hanya mengundang nahas buat mereka. Anehnya, kenderaan itu semakin perlahan.

Seolah-olah ingin mempermainkan mereka suami isteri, makhluk berkenaan sekali lagi menghilang dan muncul di bonet belakang sebaik Azimah berpaling semula ke depan.

Azimah yang tidak tahu hujung pangkal, pula merungut kerana kereta mereka seolah-olah terlalu berat untuk bergerak walaupun jelas Zaki menekan minyak. Pada masa sama, dia berasakan kelainan yang ketara pada malam itu. Kesunyiannya berbeza daripada malam sebelumnya dan sesekali Azimah berasa seram sejuk.

Namun perasaan itu dipendamkan kerana tidak ingin mengganggu tumpuan Zaki yang sedang memandu walaupun menyedari tingkah laku suaminya agak berlainan pada malam itu.

Sementara itu, bagi menghilangkan rasa takut dan memulihkan semangat, Zaki meminta Azimah mencapai cakera padat bacaan Yaasin yang sememangnya berada di ruang simpanan barangan. Azimah yang semakin hairan dengan sikap Zaki cuba bertanya tetapi akhirnya kembali diam selepas dilihat Zaki langsung tidak mengendahkannya dan sebaliknya semakin kerap melihat cermin pandang belakang.

Zaki memberanikan diri membuka sedikit cermin kereta dengan tujuan alunan ayat suci itu dapat berkumandang sehingga ke luar kereta dan menghindari makhluk halus itu daripada terus mengganggu perjalanan mereka sekeluarga. Harapannya tersasar kerana makhluk berkenaan masih melayang-layang terbang mengekori kenderaan mereka.

Azimah yang masih tidak menyedari apa yang berlaku, mula cuak apabila merasai sesuatu seperti rambut mengenai mukanya daripada cermin tingkap yang dibuka sedikit. Cuma dia sedikit hairan kerana tahu rambut anak perempuannya tidak sepanjang itu sehingga boleh mengenai mukanya.

Dalam Azimah melayan rasa peliknya tiba-tiba Zaki menekan brek mengejut dan jelas pada pengetahuan mereka berdua, Zaki terlanggar sesuatu. Azimah yang panik menggesa Zaki keluar melihat apa yang dilanggarnya tetapi Zaki berkeras enggan berbuat demikian dan mengatakan dia sebenarnya tidak melanggar apa-apa.

Pertengkaran mereka terhenti sendiri apabila tiba-tiba satu lembaga mengerikan dengan rambut panjang mengerbang, muncul dari depan kereta dan terus melayang sambil mengilai.

Azimah yang terkejut bercampur takut terus menjerit sebaik makhluk berkenaan menunjukkan dirinya yang sebenar sedangkan Zaki berusaha menenangkan diri. Ayat-ayat suci al-Quran yang menjadi hafalan sejak kecil terus dibaca walaupun ada ketika agak lintang pukang bacaannya.

Agak lama makhluk itu mengganggu mereka sebelum terbang menghilangkan diri ke dalam kebun kelapa sawit di tengah kepekatan malam.

Menceritakan kisah seram itu, Azimah berkata dia nampak makhluk itu cukup menakutkan sebaliknya Zaki pula memberitahu makhluk itu kelihatan cantik.

“Saya pun hairan sebab anehnya, saya nampak pontianak itu dengan wajah yang menakutkan, berambut panjang mengerbang. Tetapi suami sebaliknya nampak wanita cantik,” kata Azimah.

Apa yang pasti, sejak kejadian itu, andai Zaki bekerja syif malam, mereka sekeluarga akan tidur di rumah ibunya kerana tidak berani lagi melalui kawasan sama pada waktu malam dan ‘ditemani’ makhluk halus.

Credit to Berita Harian
Oleh Hazirah Che Sab

Keranda Mencari Jalan Pulang

Roh pelakon tidak tenang selagi tidak disemadikan di kampung asal

CHARLES Coghlan dilahirkan di Pulau Prince Edward, di pesisiran pantai timur Kanada pada 1841 dalam keluarga pendatang Ireland yang miskin. Sebaik mencecah usia persekolahan, jiran Coghlan mengutip sumbangan untuk menghantarnya bersekolah di England.

Coghlan menunjukkan kecemerlangan ketika di bangku sekolah dan berjaya melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat ijazah. Dia, bagaimanapun menaikkan kemarahan bapanya apabila menyuarakan hasratnya menjadi pelakon.


Bapanya yang menentang keras keinginan itu memberi kata dua kepada Coghlan - lupakan bidang lakonan atau jangan menjejakkan kaki lagi di rumah mereka. Coghlan memilih untuk meneruskan cita-citanya, meninggalkan rumah dan berjanji tidak akan kembali ke Pulau Prince Edward lagi.

Coghlan nyata membuat pilihan kerjaya tepat kerana menjadi pelakon berjaya, dengan lakonannya selalu mendapat pujian penonton.

Satu hari, Coghlan melawat seorang tukang tilik dan wanita gipsi itu memberitahu sesuatu yang membuatkan Coghlan amat mengingatinya. Dia berkata: “Charles, awak akan menjadi amat terkenal tetapi akan mati di kemuncak kemasyhuran. Roh awak tidak akan tenang sehingga awak dikembalikan ke tanah kelahiran awak.”
Coghlan amat terganggu dan kagum dengan ramalan itu, dan kerap mengulangi perkara itu kepada rakannya dalam setiap perbualan tetapi mereka menyifatkan ia karut.

Petanda awal ramalan tukang tilik itu menjadi kenyataan ialah pada 1898 apabila Coghlan meninggal dunia secara tiba-tiba di atas pentas ketika melakonkan watak Hamlet di Galveston, Texas. Ketika itu, lakonan Coghlan mendapat pujian hebat pengkritik teater dan memang benar, dia meninggal dunia pada kemuncak kemasyhurannya.

Minggu berikutnya, Coghlan dikebumikan di tanah perkuburan Galveston. Dua tahun kemudian, taufan dahsyat melanda Galveston dan mengorbankan 6,000 orang serta memusnahkan tanah perkuburan tempat Coghlan disemadikan.

Pagi berikutnya, pihak berkuasa mendapati beberapa keranda dihanyutkan oleh taufan itu ke laut dan salah satu keranda itu mengandungi mayat Coghlan. Apabila keluarga Coghlan dimaklumkan mengenai tragedi berkenaan, mereka menawarkan ganjaran lumayan kepada sesiapa saja yang berjaya menemui keranda itu tetapi tiada siapa tampil berbuat demikian.
Pada Oktober 1908, kira-kira lapan tahun selepas taufan melanda Galveston, beberapa nelayan di Pulau Prince Edward menemui sebuah keranda besar terapung dipukul ombak ke pantai kepulauan itu. Menurut kepingan perak yang terlekat padanya, ia adalah keranda Charles Coghlan yang hilang sekian lama.

Keranda itu melakukan perjalanan beribu-ribu kilometer dari tanah perkuburan Galveston untuk tiba di tanah kelahiran Coghlan, seperti yang diramalkan tukang tilik 10 tahun sebelum itu.

Sehingga kini ia kekal sebagai misteri dan menjadi salah satu daripada cerita benar paling pelik dalam sejarah.

Credit to Berita Harian 

Oleh Hazirah Che Sab   

zeehan@bharian.com.my

Sunday, January 3, 2010

Misteri Gerai Bukit Lenggok

Kawasan semak samun bertukar menjadi kedai makan pada tengah malam

BERKONGSI hidup dalam dunia ini dengan makhluk halus ada kalanya mengundang rasa tidak selesa, terutama mengenangkan tindak tanduknya yang sering menyesatkan mereka yang sering leka. Lebih tidak menyenangkan ialah apabila makhluk halus boleh menjelmakan diri seperti manusia dengan tujuan menyesatkan dan apabila kebenaran terserlah, ia sudah terlalu lambat.

Peristiwa yang menimpa sebuah keluarga dalam perjalanan mengunjungi saudara mara di sebuah daerah di utara tanah air mungkin boleh dijadikan iktibar betapa kelalaian walaupun sesaat bermakna menempah bencana.




Malam semakin gelap, sedangkan destinasi yang dituju masih jauh. Tumpuan Kamarul (bukan nama sebenar) kepada pemanduan agak terganggu dengan rungutan isteri dan anak-anak yang mengadu kelaparan.

Dia memilih untuk melalui kawasan yang dinamakan Bukit Lenggok kerana ia adalah jalan pintas untuk sampai lebih cepat ke rumah sepupunya. Kawasan sekitar Bukit Lenggok gelap kerana terletak jauh dari jalan utama dan kedudukan lampu jalan yang berjauhan antara satu sama lain tidak banyak membantu.

Bersesuaian dengan namanya, jalan di Bukit Lenggok bengkang bengkok dan sesekali Kamarul melalui kawasan lencongan berbahaya. Semua itu memaksa Kamarul memandu dengan lebih berhati-hati.
Selepas agak lama memandu, Kamarul menyedari bukan hanya isteri dan anak-anaknya saja yang kelaparan tetapi perutnya juga sudah berlagu minta diisi.

Pening juga kepalanya memikirkan di mana hendak mencari kedai makan di kawasan terpencil seperti itu apatah lagi hari semakin larut malam. Rasa menyesal bersarang di hati kerana tidak membeli bekalan ketika berhenti di kawasan rehat lebuh raya sebelum itu.

Tiba-tiba dari jauh, Kamarul ternampak sebuah gerai kecil dengan beberapa pelanggan masih menjamu selera. Dia tersenyum sendiri kerana dapat mengisi perut sementara menanti sampai di rumah sepupu yang sudah lama tidak ditemui.

Kamarul turun dan memilih tempat duduk diikuti isteri dan anak-anaknya. Masing-masing memilih hidangan mengikut selera sendiri - ada yang meminta mi goreng, nasi goreng dan air sirap. Selesai makan, Kamarul memanggil pemilik gerai dan membayar harga makanan sebelum bergerak menaiki kereta untuk meneruskan perjalanan.
Ketibaan Kamarul sekeluarga disambut gembira sepupunya, Ramli (bukan nama sebenar) dan isteri. Mereka saling bertukar cerita kerana sudah lama tidak berjumpa. Namun kerancakan berbual terganggu apabila Kamarul memberitahu mereka sekeluarga sudah berhenti makan di sebuah gerai di kawasan Bukit Lenggok selepas isteri sepupunya mahu menghidangkan makanan.

Dengan nada hairan Ramli berkata di kawasan itu tiada gerai makan kerana ia terpencil dan jarang dilalui kenderaan pada waktu malam. Bagaimanapun, Kamarul berkeras mengatakan ada gerai di situ dan kenyataan itu disokong oleh isteri dan anak-anaknya.

Ramli yang lebih tahu kawasan di situ sekali lagi menegaskan di situ tiada gerai makan dan mula berasa curiga dengan cerita Kamarul mengenai mereka sekeluarga berhenti makan. Tidak puas hati dengan cerita Kamarul, dia meminta sepupunya itu menunjukkan gerai tempat mereka berhenti makan.

Pada keesokan hari, Ramli dan Kamarul kembali ke kawasan gerai dan setiba di situ, mulut Kamarul seakan terkunci kerana seperti penjelasan Ramli, tiada gerai di situ. Terhidang di depan mata ialah semak samun.

Masih cuba menidakkan kebenaran, Kamarul berkata dia sendiri membuat bayaran kepada pemilik gerai. Dia sekali lagi kaku apabila Ramli menunjukkan wang kertas dan syiling terselit di celah ranting sebatang pokok di situ. Kamarul serta merta berasa loya memikirkan apa sebenarnya yang dihidangkan kepada mereka anak beranak semalam.

Sepanjang perjalanan balik ke rumah Ramli, dia langsung tidak bersuara, cuma asyik terfikir jika bukan gerai yang berada di situ, siapakah pula pelanggan dan pemilik yang ditemuinya.

Sebenarnya bukan Kamarul seorang pernah mengalami kejadian itu dan sehingga hari ini, gerai misteri pada waktu malam di Bukit Lenggok masih diperkatakan.




Credit to Berita Harian
Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my