CHARLES Coghlan dilahirkan di Pulau Prince Edward, di pesisiran pantai timur Kanada pada 1841 dalam keluarga pendatang Ireland yang miskin. Sebaik mencecah usia persekolahan, jiran Coghlan mengutip sumbangan untuk menghantarnya bersekolah di England.
Coghlan menunjukkan kecemerlangan ketika di bangku sekolah dan berjaya melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat ijazah. Dia, bagaimanapun menaikkan kemarahan bapanya apabila menyuarakan hasratnya menjadi pelakon.
Coghlan nyata membuat pilihan kerjaya tepat kerana menjadi pelakon berjaya, dengan lakonannya selalu mendapat pujian penonton.
Satu hari, Coghlan melawat seorang tukang tilik dan wanita gipsi itu memberitahu sesuatu yang membuatkan Coghlan amat mengingatinya. Dia berkata: “Charles, awak akan menjadi amat terkenal tetapi akan mati di kemuncak kemasyhuran. Roh awak tidak akan tenang sehingga awak dikembalikan ke tanah kelahiran awak.”
Coghlan amat terganggu dan kagum dengan ramalan itu, dan kerap mengulangi perkara itu kepada rakannya dalam setiap perbualan tetapi mereka menyifatkan ia karut.
Petanda awal ramalan tukang tilik itu menjadi kenyataan ialah pada 1898 apabila Coghlan meninggal dunia secara tiba-tiba di atas pentas ketika melakonkan watak Hamlet di Galveston, Texas. Ketika itu, lakonan Coghlan mendapat pujian hebat pengkritik teater dan memang benar, dia meninggal dunia pada kemuncak kemasyhurannya.
Minggu berikutnya, Coghlan dikebumikan di tanah perkuburan Galveston. Dua tahun kemudian, taufan dahsyat melanda Galveston dan mengorbankan 6,000 orang serta memusnahkan tanah perkuburan tempat Coghlan disemadikan.
Pagi berikutnya, pihak berkuasa mendapati beberapa keranda dihanyutkan oleh taufan itu ke laut dan salah satu keranda itu mengandungi mayat Coghlan. Apabila keluarga Coghlan dimaklumkan mengenai tragedi berkenaan, mereka menawarkan ganjaran lumayan kepada sesiapa saja yang berjaya menemui keranda itu tetapi tiada siapa tampil berbuat demikian.
Pada Oktober 1908, kira-kira lapan tahun selepas taufan melanda Galveston, beberapa nelayan di Pulau Prince Edward menemui sebuah keranda besar terapung dipukul ombak ke pantai kepulauan itu. Menurut kepingan perak yang terlekat padanya, ia adalah keranda Charles Coghlan yang hilang sekian lama.
Keranda itu melakukan perjalanan beribu-ribu kilometer dari tanah perkuburan Galveston untuk tiba di tanah kelahiran Coghlan, seperti yang diramalkan tukang tilik 10 tahun sebelum itu.
Sehingga kini ia kekal sebagai misteri dan menjadi salah satu daripada cerita benar paling pelik dalam sejarah.
No comments:
Post a Comment